• nabalunews

COVID-19: TIADA ADUAN RASMI, SYARIKAT PENGURUSAN JENAZAH MINTA BAYARAN RM6,000


8 Feb 2021


Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Tiada aduan rasmi berkenaan isu yang tular di media sosial Facebook mengenai dakwaan ahli keluarga pesakit Covid-19 yang meninggal dunia terpaksa membayar RM6,000 untuk pengurusan penghantaran jenazah.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan semua hospital kerajaan tidak mengenakan apa-apa bayaran bagi pengendalian jenazah kes Covid-19.


Beliau berkata, Caj pengangkutan dikenakan apabila ahli keluarga jenazah memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah bertauliah untuk membawa jenazah dari hospital ke tapak pengkebumian.

"Prosedur pengangkutan sehingga pengkebumian adalah diselia ketat oleh pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesahihan isu yang tular di Facebook itu.


Masidi berkata, setakat ini tidak ada sebarang aduan rasmi mengenai perkara itu bagi membolehkan ianya disiasat secara menyeluruh berdasarkan fakta dan bukan melalui andaian-andaian.


"Tidak ada apa-apa bayaran dikenakan bagi pengendalian jenazah kes Covid-19 melainkan pihak ahli keluarga sendiri yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah bertauliah yang sudah tentunya melibatkan kos yang telah dipersetujui antara pihak keluarga terlibat dan pihak syarikat berkenaan.


"Justeru itu, secara peribadi saya meminta agar mana-mana pihak tidak mengambil ataupun memanipulasi kesempatan untuk memperolehi keuntungan keterlaluan daripada ahli keluarga yang sedang berdukacita atas kehilangan orang-orang yang tersayang," katanya.