• Wartawan Nabalu News

COVID-19: TIGA KEMATIAN DILAPORKAN DI SABAH


1 DIS 2020


Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di seluruh negara sebanyak 363 kes.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-361 membabitkan seorang wanita warganegara berumur 64 tahun, mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan kanser usus, disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau.


“Dua ke kematian dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth membabitkan dua lelaki iaitu seorang warga tempatan dan seorang lagi bukan warganegara masing-masing berumur 24 dan 54 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Noor Hisham berkata, hari ini negara merekodkan kes harian baharu sebanyak 1,472 kes, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 67,169 kes.


“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,495 kes,” katanya.


Beliau berkata, secara keseluruhannya dalam tempoh seminggu yang lepas, negeri-negeri di seluruh negara menunjukkan jumlah pelaporan kes harian yang lebih stabil.


“Sebahagian besar daripada kes-kes yang dilaporkan kebelakangan ini adalah berpunca dari tapak binaan dan kilang.


“Angka yang tinggi ini adalah susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan,” katanya.