• Wartawan Nabalu News

COVID: 647 KES BAHARU DI SABAH HARI INI



17 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini amat tinggi sebanyak 647 kes, kebanyakannya disumbangkan daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 312 kes kebanyakannya daripada Kluster Penjara Kepayan.


“Kluster Penjara Kapayan menambah 204 kes baharu iaitu 65.4 peratus daripada 312 kes yang direkodkan di Kota Kinabalui," katanya dalam perkongsian melalui Twitternya hari ini.


Masidi berkata, daerah kedua mencatatkan kes tertinggi ialah Tawau dengan 78 kes, diikuti Keningau 39 kes, Kudat (35 kes), Sandakan (33 kes), Sipitang (25 kes), Beaufort (24 kes), Pitas (19 kes).


Penampang dan Tuaran masing-masing mencatatkan 13 kes, Semporna (sembilan kes), Putatan (lapan kes), Kota Belud, Kota Marudu dan Beluran pula masing-masing tujuh kes, Papar (enam kes), Kinabatangan (empat kes), Lahad Datu (tiga kes), Ranau (dua kes), Kunak, Kalabakan dan Tongod masing-masing satu kes.