- nabalunews
COVID: JUMLAH KES BAHARU 3,680, TUJUH LAGI KEMATIAN - KP KESIHATAN

27 Jan 2021
KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,680 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu di dalam negara mencecah 194,114 dengan 42,389 kes aktif.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu hari ini, 3,674 kes merupakan kes tempatan dan enam lagi kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
“Negeri Johor merekodkan kes tertinggi iaitu 1,069 kes diikuti Selangor (822 kes), Kuala Lumpur (698 kes) dan Sabah dengan 295 kes,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata sejumlah 1,858 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh daripada COVID-19 sebanyak 151,018 kes.
Manakala tujuh lagi kematian direkodkan hari ini yang kesemuanya melibatkan warganegara menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia akibat pandemik itu setakat ini sebanyak 707, katanya. - Bernama