top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Covid: Jumlah kes baharu di Sabah terus meningkat 818 kes hari ini



25 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu positif Covid-19 di Sabah terus menunjukkan peningkatan sejak beberapa hari lalu sehingga mencapai angka 818 kes pada hari ini.


Pada 21 Julai lalu kes baharu positif Covid di Sabah mencatatkan sebanyak 474 kes, kemudiannya pada 22 Julai (497 ), 23 Julai (516 ) dan 24 Julai (712 ).


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sehingga kini sebanyak 79,470 kes.


“Pada hari ini dua kes kematian dilaporkan masing-masing di Tawau dan Papar.


“Jumlah kes positif Covid-19 Sabah hari ini ialah 818 kes iaitu peningkatan sebanyak 106 kes berbanding 712 kes yang dicatatkan semalam,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Masidi berkata, penyumbang utama kes pada hari ini adalah daripada Saringan Kontak Rapat iaitu 364 kes, diikuti Saringan Kluster Sedia Ada (148 kes), Saringan Bersasar (104 kes), Saringan Bergejala (103 kes) dan enam kluster baharu menyumbang 61 kes.


“Seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 364 kes daripada Saringan Kontak Rapat menunjukkan bahawa masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP,” katanya.


Beliau berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh sebanyak 537 menjadikan jumlah kumulatif 73,597 orang.


“Seramai 3,486 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 651 orang di hospital, 2,414 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 421 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 71 orang dan 19 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

bottom of page