• nabalunews

COVID: KES BAHARU 3,391 DENGAN 19 KEMATIAN - KP KESIHATAN


Gambar Hiasan

5 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini menurun kepada 3,391 kes daripada 4,571 kes semalam, dengan 19 kematian direkodkan bagi tempoh 24 jam lepas setakat ini.


Pertambahan 19 kematian hari ini menyaksikan kes kematian akibat COVID-19 bagi lima hari pertama bulan Februari sejumlah 85 kes, manakala jumlah keseluruhan kes kematian akibat pandemik itu kini 845 kes.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada keseluruhan kes baharu yang dicatatkan, 3,387 kes melibatkan warga tempatan manakala empat lagi kes import, menjadikan jumlah kumulatif kes akibat wabak itu kini 234,874.


"Jumlah kes yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) pula mencecah 310, dengan 134 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 48,751 kes,” menurutnya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.


Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 1,228 kes (36.2 peratus), diikuti Johor iaitu 598 kes (17.6 peratus) dan Kuala Lumpur dengan 395 kes (11.6 peratus).


Sementara itu Sabah mencatat 196 kes; Negeri Sembilan (116); Pulau Pinang (149); Perak (92); Sarawak (178); Melaka (141); Kedah (91); Kelantan (58); Pahang (51); Terengganu (84); Labuan (tujuh); Putrajaya (enam) dan satu di Perlis.


Memperincikan jumlah kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata 17 daripada 19 kematian direkodkan hari ini melibatkan warganegara dan dua kes adalah warga asing. Tujuh kematian dilaporkan di Kuala Lumpur, lima di Sabah, masing-masing tiga kematian di Selangor dan Sarawak serta satu kes di Perak.


Dalam pada itu, sebanyak 3,392 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya daripada wabak itu kini 185,278.


Mengenai 15 kluster baharu hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan berkata ia melibatkan 12 kluster penularan di tempat kerja, dua kluster penularan komuniti dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.


Bagi kluster di tempat kerja, lima di Selangor iaitu Kluster Jalan Mokhtar; Kluster Jalan Enam Belas; Kluster Bandar Teknologi; Kluster Persiaran Jaya dan Kluster Jalan Lima, serta dua di Johor, Kluster Jalan Rumbia Dua dan Kluster Sri Sengkang.


Juga kluster di tempat kerja, Kluster Jun Heng di Sarawak; Kluster Tapak Bina Jalan Valdor (Pulau Pinang); Kluster Industri TTJ (Negeri Sembilan); Kluster Santong Paka (Terengganu) dan Kluster Industri Bentong Sebelas di Pahang.


Sementara itu, dua kluster penularan dalam komuniti masing-masing di Pahang, Kluster Hikmah Muadzam dan Kluster Taman Murni, manakala hanya satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Jalan Jubilee di Kuala Lumpur.


Pertambahan kluster itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 876 dengan bilangan kluster aktif sebanyak 434.


Dua kluster pula diisytihar tamat hari ini, iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Ipoh, Perak dan Kluster Ziarah Putra, Putrajaya sekali gus menjadikan jumlah kluster tamat sebanyak 442. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com