COVID: KES BAHARU TERUS MENINGKAT, CATAT 4,519 KES HARI INICOVID: KES BAHARU TERUS MENINGKAT, CATAT 4,519 KES HARI INI
top of page
  • nabalunews

COVID: KES BAHARU TERUS MENINGKAT, CATAT 4,519 KES HARI INI


Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

8 Mei 2021

PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes harian COVID-19 melebihi 4,000 dengan mencatatkan 4,519 kes baharu dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Beliau berkata, jumlah kes baharu itu menjadikan kes kumulatif COVID-19 di dalam negara kini berjumlah 436,944 kes.



Jelasnya Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 1,722 kes, diikuti Kuala Lumpur (557) dan Sarawak (479).


“Dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak 2,719 kes sembuh dicatatkan, menjadikan jumlah kumulatifnya 398,723 kes. Kes aktif kini adalah 36,564,” katanya pada sidang media perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.


Beliau berkata, sejumlah 393 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 210 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan, manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,657 kes, susulan 25 kematian baharu dilaporkan hari ini.


Mengenai kluster baharu Dr Noor Hisham berkata, 16 kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan lapan kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster keagamaan dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).



Kluster berkaitan tempat kerja melibatkan Kluster Kampung Kebun Sayur dan Jalan Desaru di Johor; Jalan Lima Puluh Satu dan Jalan Padang Golf di Selangor; Jalan Stadium 2 di Selangor dan Kuala Lumpur; Pasar Borong KL 3 di Kuala Lumpur; Jalan Era di Negeri Sembilan dan Jalan Limbungan Jaya di Melaka.


“Kluster komuniti pula melibatkan Kluster Bechah Palas dan Lorong Kubor di Kelantan; Jelalong di Sarawak; Dah Putih di Kedah; Rantau Siantan di Pahang; dan Keramat di Sabah; manakala kluster keagamaan ialah Kluster Jalan Mawar 20 di Johor serta kluster institusi pendidikan KPM melibatkan Jalan Batu Maung di Pulau Pinang,” katanya.


Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada situasi COVID-19 di India di mana kes meningkat setiap hari sehingga melumpuhkan sistem kesihatan di negara tersebut, dan beberapa negara lain yang menghadapi situasi yang hampir sama supaya keadaan sedemikian tidak berlaku di dalam negara.


Bagaimanapun, beliau berkata tren kenaikan mendadak kes COVID-19 di negara ini adalah membimbangkan dan Kementerian Kesihatan (KKM) khuatir situasi seperti di India juga boleh berlaku di Malaysia sekiranya tindakan drastik tidak dilaksanakan segera.


“Sehingga tengah hari tadi, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 436,944 kes. Mengikut unjuran nilai Rt semasa iaitu 1.10, dianggarkan kes akan mencapai 5,000 kes sehari dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang.


“Bagaimanapun, jumlah kes harian yang dilaporkan untuk dua hari berturut-turut (semalam dan hari ini) kini menghampiri 5,000 kes. Oleh itu, KKM sentiasa dan akan terus menjalankan tindakan kesiapsagaan di lapangan termasuk tindakan kesihatan awam,” katanya.


Selain itu, beliau berkata KKM sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti di hospital agar kes-kes positif yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan juga ICU dapat dilaksanakan sewajarnya. – Bernama



bottom of page