• nabalunews

COVID: KES BAHARU TURUN DI BAWAH ANGKA 3,000 - DR NOOR HISHAM


14 FEB 2021


KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan penurunan kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas kepada 2,464 kes, kurang 1,035 kes daripada 3,499 semalam.


Ini adalah kali kedua Malaysia mencatat kes baharu kurang daripada 3,000 dalam bulan ini selepas mencatatkan 2,764 kes pada 9 Feb.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata Malaysia mencatat kes sembuh COVID-19 paling tinggi dalam tempoh 24 jam lepas dengan 4,525 orang dilapor sembuh daripada penyakit yang menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di seluruh negara setakat ini ialah 213,814 kes.

Jumlah kumulatif kes di seluruh negara setakat ini adalah 264,269 dengan kes aktif 49,490, katanya dalam satu kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 hari ini.


Beliau berkata bagaimanapun tujuh kematian akibat COVID-19 dilapor dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan sejumlah 965 orang meninggal dunia akibat pandemik itu setakat ini.


Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,461 merupakan penularan tempatan dan tiga adalah kes import.


Sementara itu, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 1,103 kes, diikuti Johor (492), Sarawak (161), Kuala Lumpur (154), Sabah (116), Kedah (92), Kelantan (88), Perak (85), Pulau Pinang (56), Terengganu (51), Negeri Sembilan (40), Melaka (11), Pahang (10), Labuan (satu) dan Putrajaya (empat), manakala Perlis tiada kes.

Mengenai tujuh kematian baharu itu, Dr Noor Hisham berkata kesemua kes adalah warganegara termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun dengan penyakit medulloblastoma, sementara kes lain melibatkan individu berusia lingkungan 52 hingga 83 tahun yang turut mempunyai latar belakang penyakit kronik.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 11 lagi kluster baharu dikesan hari ini melibatkan sembilan kluster penularan di tempat kerja dan masing-masing satu kluster membabitkan penularan komuniti dan keagamaan.


Kluster di tempat kerja membabitkan lima di Johor iaitu Kluster Jalan Istimewa Cemerlang; Kluster Batu 57; Kluster Jalan Usaha Satu; Kluster Jalan Tebrau Khas; dan Kluster Jalan Persiaran Teknologi Kulai; tiga di Selangor iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Setia; Kluster Jalan Jelatek dan Kluster Jalan Sepuluh, serta satu di Kedah, Kluster Ria Jaya.

Sementara satu kluster komuniti ialah Kluster Patikang Ulu di Sabah dan kluster keagamaan melibatkan Kluster Jalan Badak di Perak.


Dr Noor Hisham berkata pengesanan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster COVID-19 di negara ini kini sebanyak 983 dengan 484 kluster aktif.


Selain itu, 10 lagi kluster diisytihar tamat hari ini melibatkan Kluster Tembok Gajah dan Kluster Firma di Johor; Kluster Tapak Bina Awan Puteh dan Kluster Tapak Bina Perkasa di Kuala Lumpur.


Kluster Tapak Bina Hartamas, Kluster Tapak Bina Perkasa dan Kluster Rantau Semarak di Selangor serta Kluster Rantau Lada (Pahang); Kluster Dialisis Putra (Putrajaya) dan Kluster Mengkuang (Terengganu), sekali gus menjadikan jumlah kluster tamat kini sebanyak 499, katanya. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com