Covid Now, perkongsian data Covid buat semua

9 September 2021
Oleh Jacquline Ebit
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan satu laman sesawang baharu iaitu Covid Now, berkaitan perkongsian data-data terkini Covid-19 yang kini boleh diakses kepada semua.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, laman sesawang tersebut akan memaparkan data-data dan perkongsian maklumat berkaitan Covid yang lebih telus dan tepat.
"Laman web ini akan memaparkan data dan maklumat yang lebih mudah difahami dan boleh diaskes oleh masyarakat umum bermula jam 6 petang ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini perkongsian data berkaitan Covid telah dimuat naik dalam Git Hub, namun paparan pada Git Hub tersebut dirasakan lebih sesuai bagi mereka yang mahir dengan sains data.
Menurut Khairy, laman baharu tersebut akan memaparkan maklumat mengenai populasi data mengenai populasi yang divaksin, kes aktif Covid-19, kadar penggunaan ventilator, unit rawatan rapi, katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Dengan tambahan maklumat baharu ianya akan dapat menggambarkan keadaan wabak semasa dengan lebih jelas.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang telah bertungkus lumus untuk membangungkan laman sesawang tersebut.
"Usaha membangunkan laman ini telah mengambil masa beberapa bulan dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan yang telah bekerja keras membangunkannya," katanya.
Sebelum ini, perkongsian data dan maklumat berkaitan Covid menjadi satu isu kerana kerajaan sebelum ini dikatakan tidak telus dalam perkongsian maklumat tersebut.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang baharu tersebut di www.covidnow.moh.gov.my.
Comentários