• Jacquline Ebit

Covid: Sabah rekod 1,514 kes baharu hari ini tertinggi setakat ini, 13 kematian



11 Ogos 2021

Oleh Jacquline Ebit


KOTA KINABAU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini meningkat kepada 1,514 kes tertinggi setakat ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 97,979 kes.


Sebanyak 13 kes kematian turut dilaporkan hari ini iaitu tujuh kes di Kota Kinabalu manakala Papar, Kudat, Tuaran, Penampang, Tawau dan Beluran masing-masing mencatatkan satu kes kematian.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, semua daerah di Sabah pada hari ini mencatatkan kes baharu.


"Kota Kinabalu dan Penampang merekod jumlah kes harian melebihi 200 kes, dengan Kota Kinabalu 263 kes dan Penampang 228 kes. Manakala tiga daerah merekod jumlah kes harian melebihi 100 kes, iaitu Keningau (140 kes), Tawau (137 kes) dan Sandakan (104 kes),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah dengan 925 kes bersamaan 61.60% peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.


"Daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tawau mencatatkan kes saringan kontak rapat yang tertinggi pada hari ini dengan 159 kes di Kota Kinabalu, 138 kes di Penampang, dan 99 kes di Tawau.


"Selebihnya, saringan bergejala merekodkan 331 kes, saringan kluster merekodkan 118 kes, saringan bersasar pula sebanyak 78 kes dan saringan lain-lain kes merekodkan sebanyak 62 kes daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.


"Sebanyak 1,064 kes daripada kes-kes hari ini merupakan kes yang ringan dan tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan.


Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 1,219 menjadikan jumlah kumulatif 84,709 orang.


“Seramai 4,688 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,099 orang di hospital, 3,533 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 50 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala enam orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 153 orang dan 66 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.