top of page

COVID: TUDM HANTAR BARANGAN KEPERLUAN KEPADA GOLONGAN TERKESAN DI SABAH

nabalunews

Gambar Hiasan

11 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menghantar pelbagai barang keperluan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar Sabah yang terkesan akibat kemiskinan dan pandemik COVID-19.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara barangan sumbangan Yayasan Ikhlas itu ialah beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, biskut dan makanan dalam tin, yang kesemuanya seberat 6,650 kilogram.

"Penghantaran udara melalui penerbangan komunikasi logistik itu melibatkan pesawat angkut A400M yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Kota Kinabalu pada 7 pagi tadi.

“Urusan memuat naik barangan ke badan pesawat bermula seawal 5 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang,” menurut kenyataan itu.

Penerbangan ke Sabah itu dikendalikan Mejar Mohd Shafique selaku juruterbang bersama Kapten Mohamad Ridhwan selaku pembantu juruterbang dengan dibantu tiga 'loadmaster' iaitu Pegawai Waran Udara II Amran, Sarjan Udara Mohd Hashimi dan Sarjan Udara Abdullah.

"Menerusi penghantaran barang sumbangan kebajikan kali ini, sebanyak 1,000 daripada 7,000 pek keseluruhan bekalan asas makanan akan diagihkan kepada mereka memerlukan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 meliputi kawasan Semporna, Tawau dan Lahad Datu dengan jumlah sumbangan bernilai RM1.4 juta,” menurut TUDM.

Kenyataan itu juga menyebut barangan tersebut merupakan hasil sumbangan kebajikan yang disalurkan melalui Yayasan Ikhlas, sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) pada 5 Mac 2009. -Bernama

Comentários


bottom of page