top of page
nabalunews

Cubaan seludup 5,000 liter petrol ke Filipina ditumpaskan Maritim Malaysia






11 November 2024


KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 5,000 liter minyak petrol ke Filipina, baru-baru ini.


Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne

berkata, bertindak berdasarkan maklumat risikan, aset ronda Zon Maritim Kudat yang pada ketika itu sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Tiris 3.0 dan Op Cegah PATI segera diatur gerak ke lokasi bagi mengesan aktiviti penyeludupan minyak berkenaan.


"Setibanya di lokasi, penguat kuasa Maritim Malaysia telah mengesan dua buah bot pam yang sedang bergerak dalam gelap disyaki bot suspek.


"Semasa cuba menghampiri, bot suspek bertindak memecut laju menuju kawasan cetek untuk cuba meloloskan diri.


"Usaha untuk mengesan bot terbabit diteruskan di kawasan cetek dan kira-kira jam 11.50 malam, sebuah bot dipercayai bot suspek telah berjaya dikesan bersembunyi di kedudukan sekitar 0.01 batu nautika timur Karamunting, Pitas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Bot berkenaan ditahan dan diperiksa dan dua individu didapati berada di dalam bot berkenaan.


Mereka terdiri seorang warga tempatan berusia lingkungan 35 tahun manakala seorang lagi warga Filipina berusia lingkungan 30 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.


Pemeriksaan lanjut juga telah menemui sejumlah 25 tong berwarna biru berisi

minyak petrol dianggarkan sebanyak 5,000 liter dibawa bot berkenaan tanpa sebarang permit yang sah dan disyaki cuba diseludup keluar ke Filipina.


Suspek serta barang rampasan seterusnya dibawa untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Kudat bagi siasatan lanjut.


Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM10,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.


Maurice berkata dalam kejadian berasingan, Zon Maritim Kudat turut berjaya menahan sebuah bot

tunda hasil yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti tunda pukat di bawah tiga batu nautika dari pantai, hasil maklumat Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah.


"Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Comments


bottom of page