• nabalunews

CUEPACS CADANG WUJUD PASUKAN PEMANTAU BEBAS KKM KAJI MASALAH KEMUDAHAN KESIHATAN



20 JAN 2021

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan pasukan pemantau bebas di setiap negeri bagi menilai dan mengkaji setiap permasalahan yang berlaku di fasiliti atau kemudahan kesihatan dengan segera.


Presidennya Adnan Mat berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pasukan ini ialah kecukupan staf di pelbagai peringkat, beban tugas pengendalian kes COVID-19 dan rawatan untuk kes lain, keadaan kemudahan, pertukaran kerja syif untuk memastikan kakitangan tidak bekerja berturut-turut dalam tempoh seminggu.


Pasukan berkenaan boleh menjalankan pemeriksaan dan penilaian risiko terhadap semua kemudahan kesihatan dan membentangkan hasil dapatan kepada pengurusan tertinggi KKM dan Perdana Menteri untuk diselesaikan segera.


"Kakitangan kesihatan bukanya robot, mereka manusia sedikit sebanyak keadaan badan dan emosi turut terkesan. Perkara lain yang boleh dinilai pasukan ini adalah kelengkapan peralatan termasuk peralatan perlindungan diri dan kenderaan yang baik dan mencukupi,” katanya menerusi kenyataan.


Terdahulu, Cuepacs turut mengucapkan takziah kepada keluarga petugas barisan hadapan KKM Dr Ali Noor Hassan yang meninggal dunia akibat penyakit yang dihidapinya dan menyatakan penghargaan atas tanggungjawab yang dilaksanakan Allahyarham sebelum ini dalam memerangi COVID-19.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan dakwaan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat kelesuan dalam bertugas ataupun kerana jangkitan COVID-19. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com