• nabalunews

CUEPACS HARAP SKIM PEKERJA KONTRAK JKM SETIMPAL DESKRIPSI KERJA


13 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap skim perkhidmatan pekerja lantikan kontrak untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun depan setimpal dengan deskripsi kerja yang akan dilaksanakan oleh mereka.

Presidennya Adnan Mat berkata pekerja lantikan kontrak berkenaan perlu menerima keistimewaan yang dinikmati penjawat awam lain di samping hal-hal kebajikan mereka turut dijaga.

"Sekiranya ada kekosongan untuk jawatan tetap, berikanlah keutamaan untuk mereka ini memasuki perkhidmatan secara tetap, berdasarkan pengalaman mereka berkhidmat. Jangan disia-siakan pengalaman dan khidmat mereka," katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau mengulas laporan media semalam mengenai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah sebanyak 8,000 perjawatan kontrak untuk JKM tahun depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata langkah itu adalah selaras dengan penstrukturan semula JKM yang bertujuan meringankan beban kakitangan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan terhadap rakyat dapat diperkasakan.

JKM ketika ini merupakan antara agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial. Justeru, langkah KPWKM menyantuni golongan sasaran terutama ketika pandemik COVID-19 adalah langkah yang tepat dan wajar disokong oleh semua pihak. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com