top of page

Curi kabel, tiga lelaki ditahan

  • nabalunews
  • Mar 14
  • 1 min read

14 Mac 2025


PENAMPANG: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam operasi di Jalan Penampang Baru, di sini, semalam.


Ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 30 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama kakitangan TM kira-kira jam 11.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, ketika ditahan, polis turut berjaya merampas beberapa barangan termasuk kabel TM.

Katanya, pasukan operasi turut merampas pemotong besi yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah berkenaan.


“Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.


“Tangkapan dan rampasan seterusnya dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sehubungan itu, Sammy berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kes jenayah diminta segera melaporkan kepada pihak polis.


Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page