Curi kabel TM, warga asing ditahan polis

2 Ogos 2024
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Kinabutan Tiku, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata suspek berusia 31 itu ditahan di kampung Sungai Buaya, Batu 3, Jalan Apas, di sini, jam 11.00 pagi.
Menurutnya, tangkapan dilakukan susulan laporan yang diterima daripada seorang juruteknik TM Rabu lalu yang mendakwa beberapa kabel milik syarikat utiliti itu hilang disyaki dicuri, menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM4,000.
"Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku mencuri kabel terbabit di lokasi kejadian dan membakarnya untuk memperoleh tembaga sebelum dijual di kedai barangan lusuh (besi buruk).
"Polis turut merampas satu guni berisi wayar tembaga seberat 25 kilogram bersama sekeping resit bercetak disyaki hasil penjualan tembaga yang dicuri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata, susulan dari tangkapan itu, polis turut menahan seorang kerani wanita berusia 27 tahun bagi membantu siasatan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Comentarios