top of page
  • Wartawan Nabalu News

CURI: PENGUMPUL BAHAN KITAR SEMULA DIPENJARA 16 BULAN



27 Jan 2021

Oleh Eviana Mazinal


KOTA KINABALU: Seorang pengumpul bahan kitar semula dihukum penjara 16 bulan kerana mencuri wang sejumlah RM2,512 daripada sebuah hotel.


Hukuman itu dijatuhkan terhadap lelaki tempatan, Syafani Azni, berusia 20 tahun selepas tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.


Syafani didapati mencuri Fail Penginap, Wang Hasil RM329, Duit Deposit Penginap RM650, Peti Tunai mengandungi RM126 dan Peti Besi Orbita Kelabu mengandungi RM1,416.


Kesalahan itu dilakukan di Hotel Sabha Gaya, Kota Kinabalu pada 18 Januari lalu jam lebih kurang 10.43 malam.


Dengan itu, tertuduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.


Menurut keterangan kes, semasa hari kejadian pekerja kaunter hotel tersebut naik ke tingkat atas yang merupakan bilik rehatnya untuk berehat sebentar sambil mengambil telefonnya.


Apabila turun dan duduk di kaunter, dia mendapati peti besi yang disimpan di bawah kaunter hotel telah hilang. Selepas membuat pemeriksaan lanjut didapati fail penginap dan sejumlah wang telah hilang.


Siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki, yang kemudiannya di kenalpasti sebagai Syafani masuk ke kaunter dan terus melarikan peti besi wang tersebut.


Bertindak atas maklumat, Syafani kemudiannya berjaya ditangkap pada 20 Januari.


Dalam kes yang berasingan, Syafani turut dikenakan penjara tujuh bulan oleh Majistret sama kerana telah memasukkan dadah ke dalam tubuh badannya.


Syafani mengaku melakukan kesalahan itu dengan menyalahgunakan dadah jenis syabu (Methamphetamine) bertempat pejabat Balai Siasatan Jenayah Narkotik, Kota Kinabalu pada 20 Januari tahun ini.


Kesalahan itu dibaca di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)Akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 38B (1)Akta yang sama.


Mahkamah mengarahkan Syafani menjalani kedua-dua hukuman tersebut serentak dari tarikh tangkapan.


Dalam perkembangan lain, Majistret sama menetapkan 8 Mac untuk sebutan semula kes seorang pelajar vokasional yang didakwa melakukan pencerobohan jenayah baru-baru ini.


Tertuduh berusia 21 tahun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya.


Tertuduh didakwa menceroboh kawasan rumah tanpa kebenaran dengan memanjat pagar rumah di kawasan perumahan Taman Sempelang, Sembulan pada 21 Januari tahun ini jam lebih kurang 3.30 pagi.


Pelajar berkenaan berhadapan dengan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.


Sementara menunggu tarikh sebutan semula kes, tertuduh dibenarkan ikat jamin RM1,500 dengan dua penjamin tempatan.


bottom of page