top of page
Wartawan Nabalu News

POLIS BERJAYA RAMPAS DADAH BERNILAI RM21,816 DI SEMBULAN


9 JAN 2021


KOTA KINABALU: Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 218.16 gram dianggarkan bernilai RM21,816 dalam dua serbuan berasingan di kawasan Sembulan, pagi Khamis.


Dalam serbuan pertama di Kampung Sembulan yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada 12.30 tengahari, enam sekeluarga berjaya ditangkap disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua suspek ini adalah warga tempatan terdiri daripada pasangan suami isteri, dua anak lelaki, anak perempuan serta menantu berusia antara 20 hingga 66 tahun.


“Kesemua mereka ditahan bersama enam paket syabu seberat 67.80 gram dalam satu plastik hitam yang disembunyikan di bawah pecahan jubin rumah mereka.

“Semakan rekod kesalahan lampau, dua suspek mempunyai rekod dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua suspek turut didapati positif dadah dan selebihnya negatif,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Habibi berkata, dalam serbuan berasingan, pada jam 7.35 malam bertempat di kawasan Flat Perumahan, Kampung Sembulan Tengah, seorang lagi warga tempatan berusia 37 tahun berjaya ditangkap bersama sebuah kenderaan yang dipandu oleh suspek disyaki digunakan untuk tujuan pengedaran dadah.


Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan serbuan di dalam kenderaan jenis Toyota Vios tersebut, telah menjumpai tiga paket syabu seberat 150.36 gram yang disembunyikan di bawah lapisan karpet bonet belakang kenderaan.


“Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan hasil ujian urin suspek juga negatif,” katanya.


Beliau berkata, keseluruhan jumlah rampasan dadah jenis syabu dalam dua serbuan berasingan ini adalah seberat 218.16 gram dianggarkan bernilai RM21,816 mengikut harga pasaran semasa.


Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) akta yang sama. Kesemua suspek kini direman bermula semalam untuk siasatan lanjut.


Habibi berkata, siasatan awal pihak polis juga mendapati, kesemua suspek yang diberkas dalam serbuan berasingan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dan penjualan dadah di sekitar Kota Kinabalu.


Bekalan dadah yang diperolehi akan dibungkus dalam kuantiti yang lebih kecil untuk dijual kepada penagih bagi mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Comments


bottom of page