Daftar pemilih tambahan Mei 2025 dibuka untuk semakan
- nabalunews
- Jun 24
- 2 min read

24 Jun 2025
PUTRAJAYA: Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2025 (DPT BLN5/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 23 Julai depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, DPT BLN5/2025 yang diperaku semalam dan diwartakan hari ini mengandungi 35,583 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mei yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
“Selain itu, senarai berkenaan juga mengandungi 11,374 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,767 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my); dan aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my).
Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
“SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mei 2025 dan pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk membuat semakan,” katanya.
Khairul Shahril berkata, sekiranya pemilih mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN5/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
“Bagi pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang ingin membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian tersebut boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri.
“Borang berkenaan harus dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri terbabit untuk serahan dan bayaran fi bantahan sepanjang tempoh semakan tersebut,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR, menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7218, atau menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri masing-masing.
Comments