Dakwaan pelabur tarik diri pembinaan kilang simen tidak benar, hanya sentimen negatif pembangkang - Masiung
- nabalunews
- Apr 27, 2025
- 2 min read

27 April 2025
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah menyangkal dakwaan yang mengatakan pelabur menarik diri daripada pembinaan kilang simen di Tongod.
Beliau menegaskan, dakwaan ataupun khabar angin itu adalah tidak benar dan hanya sentimen negatif yang cuba dimainkan pihak pembangkang.
"Saya ingin tegaskan disini bahawa kerja-kerja pembersihan di kawasan ini sedang dilaksanakan," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Aidilfitri 2025 di kediamannya di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Penbangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib
Masiung, yang juga Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd berkata, fitnah yang mengadakan pembinaan kilang simen hanya sebagai alasan untuk mengambil kayu balak juga tidak benar.
"Kini tiada sudah kayu balak di sini, lagipun hanya 200 ekar tanah sahaja digunakan untuk membangunkan kilang simen.
"Kita tiada niat mahu tipu atau mengelirukan rakyat di kawasan itu, apa yang kerajaan negeri mahukan adalah harga simen pada hari ini tidak terkawal.
"Terdapat aduan daripada pihak pemaju bahawa pengeluaran simen pada hari ini sangat terhad, memandangkan bekalan bahan mentah semakin kurang,"
Beliau berkata, Sabah sebenarnya tiada kilang pemprosesan simen sebaliknya hanya pembungkusan sahaja.
Katanya, kerajaan negeri masih terpaksa mengimport bahan mentah dari luar dan ini sudah pasti meningkatkan harga simen di Sabah.
"Oleh itu, pembinaan kilang simen kita sendiri sekali gus mampu menyelesaikan masalah ini untuk jangka masa panjang.
"Sebagai ADUN Kuamut, saya juga mempunyai visi untuk kawasan saya, berdasarkan sejarah, Kuamut pada dahulu adalah pengeluar kayu balak terbesar di Sabah. Ia diangkut ke Keningau dan perlabuhan di Sandakan untuk diekport ke Hong Kong.
"Bagaimanapun, kemudahan infrastruktur di Kuamut tidak pernah diperkasakan, sebaliknya Sandakan berkembang maju," katanya.
Beliau berkata, pembinaan kilang simen di Tongod mampu memberikan limpahan ekonomi kepada Sabah, khususnya kepada penduduk kampung bagi meningkatkan taraf kehidupan yang mana kini daerah itu dikategorikan sebagai salah satu daerah termiskin di Malaysia.
Selain itu katanya, ia juga menyediakan peluang pekerjaan sekurang-kurangnya 1,000 penduduk kampung.
Berkenaan dengan isu pencemaran yang dimainkan pembangkang, Masiung berkata, pembinaan kilang simen itu tidak akan menjejaskan persekitaran di kawasan itu.
"Ini kerana kita semua mahukan kesihatan yang baik, kita tidak akan menggadaikan kesihatan rakyat hanya demi membina kilang simen yang mampu membawa manfaat bersama.
"Kita sentiasa mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan khususnya Jabatan Alam Sekitar. Kita perlu mematuhi Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
"Semua pembangunan kemudahan asas serta pembinaan bangunan di kawasan itu perlu mematuhi EIA yang ditetapkan.
"Ini yang berlaku selama dua tahun kerana proses EIA sedang dilakukan dan kita tidak menyembunyikan perkara ini. Oleh itu tuduhan mengatakan kita mengadaikan kesihatan rakyat adalah tidak benar," katanya.
Dalam pada itu, Masiung yakin akan mampu mempertahankan kerusi DUN Kuamut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, semuanya terserlah kepada kepimpinan parti untuk menentukan calonnya.
"Rakyat juga mahu teruskan kerajaan pada hari ini, rakyat selesa dengan kerajaan hari inhi yang stabil dan mereka tidak lagi mahu wujud pergolakan yang tidak membawa manfaat pada negeri ini," katanya.















Comments