- Wartawan Nabalu News
Dasar Gaji Progresif sokongan anjakan reformasi pasaran pekerja
7 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah membincangkan cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja agar gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar gaji progresif itu adalah bersifat sukarela (voluntary), berteraskan insentif (incentive-based), dan terkait dengan produktiviti (productivity-linked).
Beliau berkata, model dasar ini diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.
“Dasar ini, yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum, akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan, dan peringkat.
“Sesi libat urus dan tinjauan awal menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan, dan MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Anwar berkata, langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja.
Beliau berkata, perkara ini juga akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan dan keperluan dasar.
“MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara,” katanya.
Katanya lagi, Gagasan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat merupakan wadah yang menetapkan halatuju negara dalam tempoh sederhana terutamanya untuk meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan di kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.
“Dalam masa yang sama, berikutan peratusan pendapatan pekerja Malaysia telah menurun daripada 37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratus pada 2022, Kerajaan menetapkan sasaran nisbah ini agar meningkat kepada 45 peratus %daripada jumlah keseluruhan pendapatan,” katanya.
Anwar berkata, isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan.
“Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas, lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
“Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20-24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan.
“Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40-49 tahun sepanjang kerjaya mereka,” katanya.
Commentaires