DBKK jalin kerjasama dengan IKMa Zon Sabah bagi perkasa latihan anggota bersara
- nabalunews
- Feb 20
- 1 min read

19 Februari 2025
KOTA KINABALU: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya (APPB), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah, baru-baru ini.
Kunjungan ini bertujuan menjalin kerjasama strategik antara DBKK dan IKMa Zon Sabah, khususnya dalam membentuk model latihan bagi anggota yang bakal bersara.
Selain itu, ia juga bagi mengenal pasti peluang untuk mereka meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengurusan koperasi, perniagaan, latihan, serta penglibatan dalam aktiviti koperasi.
Rombongan DBKK diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), Faradillah Haji Abdul Rani dan disambut oleh Pengarah IKMa Zon Sabah, Mohd. Razalie Raffae.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pegawai Latihan Kanan Redzuan Saudi, Pegawai Latihan Kanan Norawati Ngatmin, dan Penolong Pengarah Kanan Mohd Noor Juan.
Sepanjang sesi pertemuan, rombongan DBKK mendengar taklimat mengenai peranan dan fungsi utama IKMa Zon Sabah, termasuk program latihan, kemudahan latihan, pembelajaran dalam talian, serta jenis kursus yang boleh ditawarkan kepada DBKK.
Selain itu, perbincangan turut menjurus kepada rancangan ke arah kemajuan Koperasi DBKK.
DBKK yakin bahawa kerjasama ini akan memupuk hubungan yang lebih kukuh antara pelbagai pihak dalam pengurusan koperasi, termasuk koperasi sedia ada, agensi kerajaan, dan pihak berkepentingan lain.
Comentários