• Wartawan Nabalu News

DBKK KOMITED PERTINGKAT KEINDAHAN DAN KECERIAAN BANDARAYA


Datuk Bandar Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip

3 Feb 2021

Oleh Syabil Syafi


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sentiasa komited untuk terus mempertingkatkan lagi keindahan dan keceriaan bandaraya selain usaha memperkembangkan identiti tersendiri bandaraya ini.


Datuk Bandar Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip berkata, usaha bagi menyemarakkan dan menghidupkan bandaraya ini juga akan diteruskan meskipun berdepan dengan pandemik COVID-19


“Kita (DBKK) akan memastikan bandaraya ini sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menyambut ketibaan pelancong ke Sabah apabila pintu masuk ke Kota Kinabalu dapat dibuka semula.


“Selain itu, DBKK juga berhasrat untuk membantu mempermudah cara usaha bagi mengaktifkan lagi aktiviti ekonomi dalam bandaraya khususnya membantu usaha menarik pelaburan ke Kota Kinabalu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat sempena Ulang Tahun DBKK ke-21 yang disiarkan melalui laman sosial rasmi Facebook Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di sini kelmarin.


Katanya, pihaknya juga akan mempertingkatkan lagi usaha-usaha dalam aktiviti kitar semula bagi tujuan melestarikan bandaraya Kota Kinabalu.


“Pusat Lestari Kota Kinabalu yang ditubuhkan nanti akan menyediakan fasiliti ‘repair and upcycle’ di kawasan yang telah dipilih dan pusat ini adalah merupakan usaha kecil untuk mendidik warga bandaraya agar tidak membazir sumber yang ada.


“Penghijauan Kota Kinabalu juga akan terus diberi perhatian dan sebagai menyahut saranan kerajaan, DBKK akan menanam sekurang-kurangnya 2000 pokok pada tahun ini manakala pelancaran Pusat Lestari Kota Kinabalu dan Kempen Penanaman Pokok akan dilaksanakan sebaik saja keadaan mengizinkan,”katanya.


Terdahulu, sempena ulang tahun DBKK kali ke-21, pelbagai aktiviti telah dirancang dan diadakan secara dalam talian.


Antara aktiviti yang diadakan adalah seperti ‘Town Hall DBKK’; Pertandingan Mereka Cipta Pakaian; Pertandingan Tarian Solo Kontemporari Atas Talian; Pertandingan Mencipta Lagu; Pertandingan Muzik Akustik dan Bicara Inovasi.


Selain itu turut diadakan majlis perasmian Pusat Lestari Kota Kinabalu dan aktiviti program penanaman pokok.


Orang ramai yang ingin mengetahui atau menyertai pertandingan yang dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun DBKK boleh melayari laman rasmi Facebook DBKK atau menghubungi melalui aplikasi WhatsApp 012-2220220.