top of page

DBKK pandang serius perbuatan vandalisme

  • nabalunews
  • May 10
  • 1 min read


10 Mei 2025


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memandang serius perbuatan vandalisme terhadap kemudahan awam yang disediakan di sekitar bandar raya.


DBKK dalam satu kenyataan di media sosial memaklumkan, mana-mana individu yang didapati dengan sengaja merosakkan kemudahan awam boleh dikenakan denda ganti rugi dan kegagalan membayarnya boleh membawa kepada tindakan sivil.


Katanya, DBKK baru-baru ini menerima laporan mengenai kerosakan pada sebuah tiang lampu di Jalan Jati, di sini, yang berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu.



“Hasil pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Kejuruteraan DBKK mendapati kos untuk membaik pulih kerosakan tersebut dianggarkan mencecah RM6,500,” menurut kenyataan itu, hari ini.


Menurutnya, kemudahan awam disediakan untuk kegunaan dan manfaat bersama warga kota, justeru itu sebarang kerosakan bukan sahaja membabitkan kerugian kewangan tetapi turut menjejaskan kesejahteraan masyarakat.


Sehubungan itu, DBKK menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang perlakuan vandalisme kepada pihak berkuasa bagi membanteras budaya tersebut.


“Jauhi budaya vandalisme, sama-sama kita jadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya sejahtera dan selamat untuk semua,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page