- Wartawan Nabalu News
DENDA RM5,000 PANDU CUAI MENGAKIBATKAN KEMATIAN PEJALAN KAKI

21 Jan 2021
Oleh Eviana Mazinal
KOTA KINABALU: Seorang bekas operator mesin jangkaut didenda RM5,000 jika gagal bayar penjara enam bulan kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa sehingga mengakibatkan kematian seorang pejalan kaki.
Mohd Sali Ali, 53 tahun dikenakan hukuman itu setelah dia mengaku bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.
Tertuduh melakukan kesahalan itu semasa memandu di Jalan Tuaran Bypass/KM10, berhampiran Plaza LYL Kota Kinabalu pada 13 Januari 2019, jam lebih kurang 6.30 pagi.

Kesalahan itu dibaca dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang mana sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Semasa kejadian, Mohd Sali yang memandu kenderaan jenis Isuzu Dmax sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Telipok, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan tertuduh hilang kawalan lalu terlanggar sebatang tiang papan tanda sebelum terlanggar seorang pejalan kaki.
Akibat daripada kemalangan itu pejalan kaki tersebut meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Siasatan lanjut mendapati punca kemalangan berlaku atas kecuaian Mohd Ali kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa di mana dia gagal mengawal kenderaannya sehingga menyebabkan kemalangan seterusnya mendatangkan kesusahan kepada pengguna jalanraya yang lain.
Ketika rayuan, Mohd Sali menerusi peguambela PJ Perira memohon agar hukuman ringan kerana dia (Mohd Sali) perlu menanggung lima anaknya dan dia tidak mempunyai pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac tahun lalu.
Selain itu PJ turut memberitahu bahawa menurut laporan kimia tayar kereta anak guamnya (Mohd Sali) yang pecah mengakibatkannya hilang kawalan sehingga berlaku kemalangan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Khairul Nizam Mokhtar memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana pemanduannya yang tidak cermat malah mengakibatkan kematian keatas pejalan kaki.
Mahkamah mengarahkan agar kesalahan Mohd Sali dicatatkan di dalam lesen memandunya.