• nabalunews

DERMA DIDERMA JAUH LEBIH RENDAH DARIPADA KEPERLUAN DI SABAH


Gambar Hiasan

10 Feb 2021


KOTA KINABALU: Darah didermakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini jauh lebih rendah daripada keperluan kira-kira 70,000 pain darah setahun, kata Pengerusi Program Derma Darah Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah Leslie Chan Boon Siang.

Beliau berkata ini dapat dilihat apabila hanya 468 pain darah didermakan orang ramai bulan lepas berbanding keperluan 5,833 pain darah sebulan untuk kegunaan rakyat di negeri ini.

"Darah 468 pain didermakan itu sebenarnya hanya mampu menampung keperluan sebulan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu sahaja...darah yang berjaya dikumpul pada tahun lepas pula adalah sebanyak 7,732 pain melalui 185 program derma darah yang telah diadakan.

"Angka ini dilihat membimbangkan dan diharap orang ramai boleh membantu untuk menderma darah bagi memastikan bekalan darah terus meningkat menjelang hujung tahun ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sehingga hari ini, BSMM telah melaksanakan program derma darah di enam daerah di Sabah melibatkan daerah Penampang, Kota Kinabalu, Kudat, Kuala Penyu, Pitas dan Tenom.

Sehubungan itu, Chan meminta penduduk Sabah terutamanya golongan belia berusia 18 hingga 29 tahun untuk tampil menderma darah bagi menampung bekalan darah di hospital sekali gus mampu menyelamatkan banyak nyawa.

Menurutnya, peratusan untuk golongan belia berjaya menderma darah adalah lebih tinggi berbanding golongan lain kerana belia mempunyai sistem ketahanan badan yang lebih kuat.

“Oleh itu, pihak kami ingin memohon supaya lebih ramai orang muda atau belia untuk tampil menderma darah bagi melaksanakan tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Beliau turut menasihati rakyat agar tidak takut menderma kerana pengendalian derma darah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


Orang ramai boleh terus menghubungi Chan di talian 013-9913119 untuk sebarang pertanyaan. -Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com