Dialog Prestasi Bersama Ibu Bapa dan Penyerahan Bantuan KWAMP di SK Kaung
- nabalunews
- Jul 31, 2025
- 2 min read

31 Julai 2025
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung telah menganjurkan Program Dialog Prestasi Bersama Ibu Bapa sempena pertengahan tahun sesi akademik 2025/2026.
Program ini berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan memberi peluang kepada ibu bapa untuk menyemak serta menandatangani Slip Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) anak masing-masing sebagai maklum balas terhadap pencapaian akademik mereka.
Seiring dengan sesi dialog tersebut, pihak sekolah turut menyampaikan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) kepada murid-murid yang layak, sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan keluarga.

Selesai sesi dialog, Mesyuarat Agung PIBG kali pertama bagi tahun 2025 diteruskan bermula jam 12.00 tengah hari hingga selesai. Yang Dipertua PIBG, Danius Yangkat, dalam ucapannya menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dalam memperkasakan Bahasa Kadazan Dusun (BKD) sebagai bahasa ibunda agar tidak dilupakan generasi muda. Beliau turut memuji pencapaian murid dalam penguasaan BKD dan menyeru agar usaha pemeliharaan bahasa warisan ini diteruskan melalui sokongan padu daripada komuniti ibu bapa.
Sementara itu, Guru Besar SK Kaung, Jamri Sinti, menekankan pentingnya kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam menjayakan pelbagai program pendidikan. Beberapa usul telah dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat tersebut, antaranya ialah pembelian baju Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), modul buku aktiviti murid, serta kelulusan wang panjar PIBG berjumlah RM1,000.00 yang akan diuruskan oleh bendahari.
Sekolah turut merancang pelaksanaan Program Gotong-Royong MADANI yang melibatkan aktiviti melukis mural, melapik lantai, dan menyimen pintu masuk kelas bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Antara isu semasa yang turut dibangkitkan dalam mesyuarat ialah masalah kehadiran murid, kegagalan menyiapkan tugasan, serta kes-kes buli yang memerlukan perhatian dan tindakan bersama antara pihak sekolah dan ibu bapa.
Bagi menyemai minat membaca dalam kalangan murid, Pusat Sumber Sekolah turut mempromosikan Program NILAM melalui kempen galakan membaca dan penglibatan murid dalam pelbagai aktiviti berkaitan buku.
Majlis berakhir dengan semangat muafakat yang tinggi antara guru, ibu bapa dan komuniti, demi memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak di SK Kaung terus diperkasa.















Comments