- Wartawan Nabalu News
DIANGGARKAN RM15 JUTA UNTUK BAIKPULIH JALAN PAITAN - KINABUNGAN

26 Jan 2021
Oleh Syabil Syafi
BELURAN :Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah menganggarkan sebanyak RM15 juta peruntukan bagi membaikpulih kerosakan jalan akibat tanah runtuh di kilometer 127.7 Jalan Paitan – Kinabungan di Paitan baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jalan raya yang terputus itu turut menyebabkan kuarters Loji Rawatan Air Paitan runtuh dan akan dibaikpulih dengan kadar segera.
“KKR menganggarkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi membaikpulih jalan ini tetapi ia mungkin akan kurang atau lebih dari jumlah dianggarkan itu.
“Kita akan meminta laporan dari pakar-pakar yang kita libatkan dalam pembinaan semula jalan ini,” katanya selepas melawat jalan raya berkenaan disini hari ini.
Turut sama dalam lawatan itu, Menteri Pelancongan, Kebudyaaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury dan Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Sabah Datuk James Ratib.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pakar-pakar ini adalah yang terlibat dalam menentukan bajet keperluan kerana ia memerlukan banyak kerja teknikal.
“Saya telah mengarahkan Pejabat Daerah Kecil Paitan untuk membuat mesyuarat khas dengan memanggil semua agensi berkaitan untuk membuat kajian berhubung jalan raya putus.
“Selain itu, saya juga mahu Jabatan Geologi Sabah, Jabatan Pengaliran Dan Saliran Sabah dan Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah dilibatkan dalam mesyuarat khas itu bagi menyelesaikan masalah ini,”katanya.
Beliau berkata, pihaknya mahu masalah tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh empat atau lima bulan.
Dalam perkembangan sama, Bung turut diberi taklimat dari Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air berhubung kejadian berkenaan.
"Ini telah menimbulkan masalah dengan menjejaskan ekonomi rakyat. Apabila jalan raya ini putus sudah tentu pengusaha sawit tidak dapat menghantar buah sawit mereka ke kilang-kilang,”katanya.