• Wartawan Nabalu News

Dokumen Perjanjian Malaysia sedia ada sudah cukup tuntut hak Sabah: Ewon


Ewon (tengah) bergambar bersama para pemimpin dan perwakilan UPKO Bahagian Lahad Datu, selepas mesyuarat itu.

25 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


LAHAD DATU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan pandangan beliau bahawa dokumen Perjanjian Malaysia dan dokumen-dokumen berkaitan yang ada sudah cukup untuk melaksanakan tuntutan hak-hak Sabah.


Menurut beliau, Perjanjian Malaysia yang ditandatangani serta dokumen-dokumen berkaitan seperti Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) boleh diperolehi di Sabah.


"Pada saya, samada ianya dokumen asal atau salinan dokumen asal, adalah perkara sekunder. Perkara utama ialah suara rakyat Sabah semasa menubuhkan Malaysia, tuntutan-tuntutan pimpinan Sabah sepanjang perundingan penubuhan Malaysia, laporan perundingan dan dokumen yang ditandatangani iaitu Perjanjian Malaysia 1963 ada di Sabah.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

"Dokumen-dokumen lain juga boleh diperolehi di Arkib Sabah dan Pejabat Peguam Besar Sabah. Pada saya, dokumen-dokumen ini sudah cukup untuk Kerajaan Sabah menuntut hak termasuk membawa ke mahkamah jika ia betul-betul serius mahu menuntut hak Sabah secara tuntas.


"Begitu juga dengan sempadan perairan Sabah jika kita mahu bercakap tentang Hak Wilayah Laut. Dokumen berkaitan ada di Sabah.


"Tidak perlu ke London. Lagipun semua yang melawat London itu merupakan pemimpin-pemimpin veteran Sabah yang tahu bahawa dokumen-dokumen tersebut ada di Sabah. Generasi muda seperti saya mahu hak-hak Sabah dituntut dengan lebih drastik tanpa perlu berdrama banyak," katanya.



Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Lahad Datu di sini, hari ini.


Ewon berkata, walaupun mengalu-alukan sebarang usaha baharu memperkasakan tuntutan hak-hak Sabah, tetapi lawatan ke London tidak dapat memberikan keyakinan sepenuhnya kepada rakyat Sabah mengenai hasil akhir yang akan dicapai.


Beliau menambah, sementara pimpinan veteran yang menerajui Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk menimba ilmu sejarah Malaysia di Arkib London, beliau bersama ADUN-ADUN dan Ahli-Ahli Parlimen (MP) daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah telahpun memfailkan saman kepada Kerajaan Persekutuan berkenaan hak 40% hasil persekutuan di Sabah di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.


Ewon (kanan) menerima cenderakenangan daripada Basari.

"Kita di UPKO dan PH Sabah telah mengambil langkah drastik memfailkan saman terhadap Kerajaan Persekutuan mengenai hak 40% di bawah Perkara 112. Kita juga boleh bawa ke mahkamah beberapa lagi perkara berkaitan hak-hak Sabah di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia jika proses perundingan tidak dapat membuat keputusan.


"Semasa UPKO di dalam blok BN, kita berunding melalui mesyuarat Kabinet dan jawatankuasa yang ditubuhkan. Semasa kerajaan PH, kita juga meneruskan rundingan melalui jawatankuasa yang ditubuhkan dan perundingan tersebut diteruskan oleh kerajaan yang ada pada hari ini. Tetapi tidakkan selepas 59 tahun Malaysia ditubuhkan, baharu permit aktiviti laut dalam diberikan kuasa kepada Kerajaan Sabah?


"Kita kena ubah pendekatan jika perundingan itu memakan masa dan merumitkan. Pada saya, biar mahkamah yang membuat ketetapan agar Kerajaan Persekutuan harus menunaikan tanggungjawabnya mengikut Perjanjian dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Ewon menyatakan bahawa pendirian tersebut merupakan pandangan peribadi beliau tetapi beliau akan terus menyuarakan pendirian tersebut sebagai ADUN dan pemimpin UPKO.


Dalam mesyuarat agung tersebut, Datuk Basari Sarkun kekal sebagai Ketua Bahagian UPKO Lahad Datu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan.


Turut hadir Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin, Naib Presiden Datuk Johnny Intang, Ketua Pemuda UPKO Felix Joseph Saang dan Ketua Bahagian UPKO Tawau Sylvester Taing.