DRAF Tamparuli sampaikan bantuan makanan kepada asrama St Marianne
1 November 2024
TAMPARULI: Dayak Ritual Awareness Fellowship (DRAF) cawangan Tamparuli baru-baru ini telah menghulurkan bantuan bakul makanan kepada Asrama St Marianne di Kampung Bantayan, Tamparuli, yang menempatkan pelajar perempuan luar bandar dari pelbagai daerah di Sabah.
Seramai 10 ahli DRAF terlibat dalam penyerahan sumbangan tersebut, diketuai oleh Pengerusi DRAF cawangan Tamparuli, Joetinus Razan.
Barang-barang yang disumbangkan termasuk beras, telur, mee, dan minyak masak.
Sebelum ini, pihak pengurusan asrama yang diwakili oleh Sister Apolonia Gumpu telah merayu kepada masyarakat untuk bantuan bekalan makanan, memandangkan kos yang semakin tinggi untuk menyediakan keperluan asas kepada 26 pelajar yang menetap di asrama tersebut.
Menurut Joetinus, bantuan ini dikumpulkan melalui dana sumbangan semua ahli DRAF Tamparuli serta ditambah daripada tabungan persatuan.
Jelas beliau, sumbangan ini adalah sebahagian daripada program kemasyarakatan yang dijalankan oleh DRAF untuk membantu masyarakat setempat.
“Ini adalah sumbangan ikhlas kami dan antara program kemasyarakatan pasukan yang kami jalankan dari semasa ke semasa.
“Kami berharap sumbangan yang tidak seberapa ini dapat memberikan keceriaan kepada para pelajar dan juga meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pihak pengurusan asrama,” kata Joetinus.
Commentaires