• nabalunews

DUA ADUN SABAH BUAT LAPORAN POLIS SIASAT PENDEDAHAN BEKAS KETUA POLIS NEGARA


Ewon (dua kiri) dan Jin Zhe (dua kanan) bersama Chrisnadia (kiri) dan Lahirul (kanan) membuat laporan polis.

5 Mei 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di Sabah membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, di sini, hari ini agar pendedahan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai rasuah politik dan campur tangan seorang menteri persekutuan dalam urustadbir polis disiasat. Adun Kadamaian yang juga Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan Adun Luyang yang juga Ketua Pemuda DAP Phoong Jin Zhe membuat laporan polis itu.

Turut memberi sokongan Ketua Wanita PKR Cawangan Tuaran Chrisnadia Sinam dan Pengerusi Parti AMANAH negeri Sabah Lahirul Latigu. Dalam kenyataan bersama Ewon dan Jin Zhe, mereka menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menyiasat pendedahan yang dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara kerana perkara itu amat serius. “Pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Hamid Bador semasa hari-hari terakhir menjadi Ketua Polis Negara mengenai rasuah politik dan campur tangan menteri dalam penyusunan pasukan polis amat serius," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, di sini, hari ini. Ewon dalam laporan polis menyatakan bahawa, rasuah politik yang dimaksudkan ialah kenyataan bekas Ketua Polis Negara yang dipetik sebagai berkata ‘orang politik itu, naik jet daripada sini (semenanjung), mana datang duit, pergi Sabah, tiba-tiba dah seorang mengaku nak lompat”.

“Berkenaan dengan campur tangan dalam pentadbiran polis, beliau (bekas ketua polis negara) dengan jelas menyatakan, "apabila berlaku perubahan kerajaan dan beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, sejak awal lagi di mesyuarat pertama Suruhanjaya Pasukan Polis ni, beliau mendesak untuk mendapatkan kuasa bagi menentukan siapa yang boleh ditempatkan di sana, di sini, situ".

Ewon dan Jin Zhe menunujukkan salinan laporan polis.

“Sehubungan itu, kami berpendapat kedua-dua pendedahan besar ini merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. “Rakyat berhak menghakimi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan pendedahan tersebut,” katanya. Ewon berkata, rakyat juga berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik daripada PDRM, iaitu untuk memastikan keselamatan dalam negara terpelihara dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, bukannya perkhidmatan untuk tujuan politik parti pemerintah. “Justeru, kami bersama-sama dengan rakyat jelata, khususnya di kawasan yang kami wakili menuntut penyiasatan penuh ke atas pendedahan Tan Sri Abdul Hamid Bador ini dan menuntut kebenaran daripada kerajaan hari ini. “Kami yakin Malaysia boleh ditadbir dengan lebih baik, tetapi bukan dengan cara kepimpinan seperti yang didedahkan oleh bekas KPN itu.

“Harapan urustadbir yang lebih baik tetap ada, tetapi bukan pada kepimpinan negara yang ada sekarang. Harapan itu terletak pada kepimpinan alternatif baharu, oleh generasi yang baharu,” katanya. Ewon berkata, siasatan itu juga perlu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pasukan polis yang menjaga keamanan dan keselamatan negara. Sementara itu Jin Zhe berkata, siasatan itu perlu kerana kenyataan itu dikeluarkan oleh bekas ketua polis negara dan melibatkan integriti pasukan polis. “Apa yang beliau (bekas ketua polis negara) nyatakan, bukan cakap-cakap kosong di kedai kopi tetapi ia berdasarkan fakta. Kalau tiada fakta dan bukti, mana boleh beliau nyatakan begitu dalam sidang media yang dianjurkan sebelum beliau bersara. “Oleh itu, kami mahu pendedahan bekas ketua polis negara ini disiasat, kerana rasuah politik merosakkan demokrasi negara ini,” katanya.