top of page
  • Wartawan Nabalu News

DUA KLUSTER BAHARU BERPUNCA DARIPADA AKTIVITI KUNJUNG MENGUNJUNGI DI TELUPID DAN TAWAU



5 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini dikenali sebagai Kluster Gambaron Telupid dan Kluster Kg Blok 31 - Tawau berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjungi.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Gambaron – Telupid adalah kluster tempat kerja mencatat dua kes positif baharu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes.


Beliau berkata, kluster indeks merupakan lelaki, 32, yang bergejala demam, batuk dan sesak nafas sejak 26 Mei lalu, sebelum disahkan positif RTK-Ag di Klinik Kesihatan Telupid pada 02 Jun lalu.


“Saringan susulan mendapati lapan kes di tempat kerja (Kg Gambaron) serta sekitar daerah Telupid dan satu lagi kes di Sandakan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, berdasarkan siasatan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri perjumpaan sosial bersama kontak pada 22 Mei lalu di sebuah kafe di Telupid.


Selain itu katanya, penularan kes juga disumbang oleh beberapa rakan sekerja kes indeks yang telah pulang ke kawasan berisiko tinggi (Tawau) untuk menyambut hari lebaran pada 07 hingga 16 Mei 2021.


“Setakat ini, 136 individu telah disaring dan aktiviti saringan serta siasatan punca jangkitan masih lagi diteruskan,” katanya.


Sementara itu kluster kedua iaitu Kluster Kg Blok 31 - Tawau pula berlaku ekoran aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Aidilfitri.


Masidi berkata, kluster ini mula direkodkan apabila kluster indeks, suri rumah, 71, disahkan positif Covid-19 melalui saringan Brought In Dead (BID) di Hospital Tawau pada 27 Mei lalu.


Katanya, susulan itu, saringan kontak rapat mendapati tiga kes positif pada 30 Mei lalu dan 21 kes baharu dikesan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31 kes.


“Aktiviti pengesanan kontak dan mengenalpasti punca jangkitan sedang giat dijalankan,” katanya.