top of page
Wartawan Nabalu News

DUA KLUSTER BAHARU DI SABAH, JANGKITAN DI TEMPAT KERJA


Gambar Hiasan

24 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu Kluster Paris Tiga Kinabatangan dan Kluster Brumas Camp – Kalabakan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Paris Tiga - Kinabatangan melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu sebuah Kilang Sawit Bell, Kinabatangan.


“Kes indeks merupakan kerani wanita, 41, yang bergejala sejak 07 Jun lalu telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu pada 14 Jun lalu, sebelum disahkan positif Covid-19 melalui ujian saringan RT-PCR pada 18 Jun.


“Susulan kes itu, saringan kontak rapat mengesan 28 lagi kes positif dalam kalangan penduduk perumahan kilang terbabit, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29 kes.


“Semua kes positif telah menjalani penilaian dan pemeriksaan di Hospital Kinabatangan dan seterusnya dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah Kinabatangan,” katanya.


Masidi berkata, setakat hari ini, aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja kilang dan ladang yang lain.


Kluster Brumas Camp - Kalabakan pula adalah kluster baharu di Mukim Brumas, Daerah Kalabakan melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti dan tempat kerja.


Katanya, kes indeks adalah guru lelaki di SK Brumas, 50, yang juga AJK Masjid Al- Ubudiyah di Perumahan Brumas Camp dalam Ladang Perkayuan Sabah Softwood.


“Kes indeks disahkan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Tawau pada 12 Jun lalu. Sehingga 22 Jun, saringan yang dijalankan terhadap 75 kontak kemudian mengesan 19 lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat, rakan sekerja dan AJK masjid yang tinggal di perumahan tersebut.


“Turut disahkan, isteri serta dua anak kepada kes indeks yang salah seorang bekerja di Ladang Perkayuan Brumas Camp Softwood.


“Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak serta mengenal pasti punca jangkitan masih giat dijalankan,” katanya.



Commenti


bottom of page