Marryan Razan
Dua kluster baharu di Sabah melibatkan majlis perkahwinan, kluster tempat kerja

28 Ogos 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan aktiviti sosial majlis perkahwinan dan kluster tempat kerja.
Kluster itu dikenali sebagai Kluster Lima Nabawan dan Kluster Pin Supu - Kinabatangan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Lima - Nabawan adalah kluster komuniti yang dikesan melibatkan aktiviti sosial sempena satu majlis perkahwinan di Kg Lima.
Beliau berkata, kes indeks merupakan lelaki, 22, yang disahkan positif COVID-19 pada 20 Ogos 2021 selepas mengalami gejala demam, batuk, dan sakit sendi bermula 18 Ogos 2021.
“Siasatan mendapati kes ini kemungkinan mendapat jangkitan dari komuniti. Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 134 individu terdiri daripada ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual mendapati 61 lagi kes positif termasuk empat kes baharu hari ini.
“Manakala, 21 individu masih menunggu keputusan saringan pertama, sementara 53 individu negatif sample pertama.
“Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan menjalani pengasingan. Kontak-kontak rapat juga telah diberikan arahan kuarantin untuk pengasingan,” katanya daam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, Kluster Pin Supu - Kinabatangan pula merupakan kluster jenis tempat kerja iaitu di ladang kelapa sawit dalam Mukim Sukau, Kinabatangan.
Beliau berkata, kes indeks adalah pekerja ladang, wanita, 40, warganegara Indonesia disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag) di Hospital Kinabatangan pada 22 Ogos 2021.
“Kes indeks yang mula bersimptom sejak 14 Ogos 2021, telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya. Aktiviti persampelan kontak terhadap 129 individu mendapati seramai 34 kes positif termasuk 32 kes baharu hari ini dalam kalangan kontak sosial, pekerja dan tanggungan.
“Aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan,” katanya.