DUA KLUSTER BAHARU DI TAWAU DAN KENINGAU BERPUNCA DARI SAMBUTAN AIDILFITRI
26 Mei 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan jangkitan semasa sambutan Aidilfitri dikenali sebagai Kluster Sungai Pukul di Tawau dan Kluster Kauran-Durok di Keningau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Sungai Pukul di Tawau melibatkan jangkitan semasa aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan aidilfitri.
Beliau berkata, kes indeks merupakan suri rumah, 63, disahkan positif Covid-19 di Hospital Tawau pada 22 Mei lalu, selepas mengalami gejala sejak 18 Mei.
“Saringan kontak rapat mendapati tujuh kes positif dalam kalangan keluarga kes indeks pada 25 Mei lalu, sebelum itu, 10 lagi kes dikesan menjadikan jumlah kumulatif setakat hari ini sebanyak 18 kes.
“Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak rapat serta punca jangkitan sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, Kluster Kauran-Durok di Keningau melibatkan kes Selangor yang dikesan pada 24 Mei lalu di Hospital Serdang. Katanya, kes indeks merupakan wanita, 30, yang balik bercuti ke Sabah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 12 hingga 22 Mei 2021. “Susulan itu, saringan bersasar terhadap 31 kontak rapat mendapati 12 daripadanya positif RTK-Antigen iaitu empat kes dari Kg. Kauran dan lapan kes dari Kg. Durok Baru pada 25 Mei lalu. “Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan semasa sambutan aidilfitri di antara 19 Mei hingga 21 Mei 2021. “Pengesanan kontak rapat juga sedang dijalankan,” katanya.
Comentários