DUA KLUSTER BAHARU DIKESAN DI KINABATANGAN DAN PAPAR

19 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini dikenali sebagai Kluster Pauh - Kinabatangan dan Kluster Angsana - Papar melibatkan penularan dalam komuniti.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Pauh adalah kluster dalam kategori komuniti dan berlaku di Kg Pauh Mukim Buang Sayang Kinabatangan.
Beliau berkata, kes indeks merupakan lelaki, warganegara Indonesia, 21, pekerja ladang (penyabit) di sebuah ladang sawit persendirian.
“Hasil saringan kemasukan ke ladang di Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran pada 12 Julai 2021 mendapati keputusan kes indeks positif COVID-19 RTK- Ag 100% dan telah dirujuk ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut.
“Aktiviti saringan kontak rapat kemudian mengesan 23 kes positif COVID-19 dalam kalangan kontak keluarga, sosial dan tanggungan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih giat dilakukan di lapangan sebagai langkah membendung penularan penyakit.
Kluster Angsana - Papar pula melibatkan penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti di Papar.
Katanya, kluster ini mula dikesan apabila pesakit buah pinggang, wanita, 66, yang menjalani rawatan di unit dialisis swasta di Jalan Lintas, Kepayan tiga kali seminggu, disahkan positif dalam saringan bergejala pada 10 Julai 2021.
“Daripada 77 sampel yang diambil, 29 sampel dikesan positif COVID-19 termasuk tujuh kes baharu pada hari ini melibatkan kontak rapat di Kg Seberang Benoni, Kg Takis, Kg Surati dan Taman Aman Suria di Papar.
“Sementara itu, 48 sampel didapati negatif dan 19 sampel lagi sedang menunggu keputusan. Aktiviti pengesanan kontak rapat, kawalan penularan penyakit, disinfeksi dan siasatan punca jangkitan masih giat dijalankan,” katanya.
Comments