• Marryan Razan

Dua kluster baharu dikesan di Ranau dan Lahad Datu


31 Ogos 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini dikenali sebagai Kluster Nasakot - Ranau dan Kluster Sawit Jeroco - Lahad Datu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dua kluster itu adalah kluster komuniti dan tempat kerja.


“Beliau berkata, Kluster Nasakot adalah kluster jenis komuniti yang berlaku di Kg Nasakot, Ranau. Kes indeks adalah wanita, 40, yang membawa anak yang juga pesakit Talasemia dan dikesan positif (RTK-Ag) semasa saringan pra-kemasukan wad pada 20 Ogos 2021.


“Siasatan awal mendapati, kes indeks membawa anaknya untuk transfusi di Hospital Ranau pada 03 Ogos 2021 dan saringan kemasukan wad adalah negatif.


“Oleh itu, mereka telah dibenarkan keluar pada 05 Ogos 2021 dan hanya berada di rumah sejak 06 Ogos 2021. Namun, pada 12 Ogos 2021 kes indeks mula menunjukkan gejala demam, selesema, hilang deria rasa dan bau.


“Tidak endah dengan simptom, pada 14 Ogos 2021, kes indeks telah menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga yang berlanjutan selama tujuh hari bersama-sama hampir keseluruhan penduduk Kg Nasakot.


“Saringan kontak rapat telah dijalankan pada 21 hingga 23 Ogos 2021 dan berjaya mengesan empat kontak rapat yang menjadi sub-indeks untuk kes-kes seterusnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, perkumpulan beramai-ramai semasa majlis pengebumian itu mencetus penularan wabak dalam komuniti Kg Nasakot dan Kg Tanid di Mukim Malinsau.


“Daripada 95 kontak yang disaring, 31 individu dikesan positif dalam kluster ini termasuk dua kes baharu hari ini,” katanya.


Beliau berkata, Kluster Sawit Jeroco - Lahad Datu pula dikesan berlaku di Mukim Segama dalam kategori tempat kerja.


Katanya, kes indeks adalah pekerja kilang, lelaki, 27, yang disahkan positif COVID-19 di klinik swasta pada 26 Ogos 2021 selepas bergejala sejak 25 Ogos 2021.


“Pihak pengurusan kilang dan klinik panel telah melakukan saringan kontak dan saringan bersasar mulai 26 hingga 28 Ogos 2021.


“Daripada 215 kontak yang disaring, 57 individu didapati positif termasuk 25 kes baharu hari ini, manakala 194 individu negatif saringan pertama.


“Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke CAC Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan. Kontak- kontak rapat pula telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di ladang tersebut,” katanya.


Katanya lagi, kebanyakan kes adalah dalam kalangan bukan warganegara yang masih belum menerima vaksin. Punca jangkitan masih dalam siasatan.