top of page
  • Wartawan Nabalu News

DUA KLUSTER BAHARU DILAPORKAN HARI INI DI TAWAU DAN KALABAKAN


3 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dilaporkan hari ini dikenali sebagai Kluster Kubota Sentral Tawau dan Kluster Kg. Simpang Tiga Merotai, Kalabakan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Kubota Sentral di Tawau menambah dua kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes.


“Kes indeks merupakan lelaki berumur 25 tahun dan jurujual di premis kelengkapan rumah. Kes indeks disahkan positif setelah menjalani saringan bergejala di salah sebuah klinik pada 29 Mac lalu.


“Saringan di tempat kerja mendapati enam kes positif, sementara dua kes lagi melalui saringan kontak rapat iaitu ahli keluarga kepada rakan sekerja.


“Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini hari ini.


Masidi berkata, Kluster Kg. Simpang Tiga Merotai, Kalabakan dan Tawau pula mencatat tiga kes positif COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes.


Beliau berkata, kes indeks merupakan wanita berusia 44 tahun bersama anak lelaki, berumur 14 tahun yang tinggal di Kg Simpang Tiga Mukim Merotai.


“Kedua-duanya disahkan positif menerusi saringan bergejala pada 25 Mac lalu dan telah dimasukkan ke wad di pusat perubatan.


“Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri meminang pada 17 Mac lalu di Kg Pasir Putih.


“Susulan kes itu, daripada 36 orang yang disaring sejak 28 Mac lalu hingga hari ini, 10 kontak rapat disahkan positif iaitu dua ahli keluarga dari Taman Sawit, Balung dan lapan orang lagi keluarga dari Kg Simpang Tiga Merotai.


“Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya.

bottom of page