top of page
  • Wartawan Nabalu News

DUA KLUSTER BAHARU DIREKODKAN DI KOTA BELUD




7 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News



KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini di Kota Belud dikenali sebagai Kluster Siasai Dundau dan Kluster Pintasan Kota Belud.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Siasai Dundau melibatkan jangkitan dalam komuniti di tiga daerah.


“Kes indeks merupakan wanita, 24, dari Kg Siasai Dundau yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan masuk kerja pada 28 Jun 2021 di Hospital UMS.


“Di samping itu, kes indeks juga mempunyai gejala demam, selesema dan batuk sejak pada 21 Jun lalu. Susulan pengesanan secara aktif dan saringan kontak terhadap 132 individu, 34 lagi kes positif dikesan positif termasuk 11 kes baharu yang direkod pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 47 kes,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.


Masidi berkata, daripada jumlah tersebut, 11 kes didaftarkan di Kota Kinabalu dan 1 kes di daerah Penampang.


Katanya, semua kes positif bagi kluster ini telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Queen Elizabeth dan PKRC Kota Belud.


“Kontak-kontak rapat kes ini juga telah diberikan arahan kuarantin untuk pengasingan,” katanya.


Masidi berkata, Kluster Pintasan Kota Belud mula dikesan di Hospital Kota Belud apabila kes indeks, wanita, 35, dari Kg Taun Gusi Keranjangan disahkan positif Covid-19 pada 30 Jun 2021, setelah bergejala demam, sakit tekak dan hilang deria bau sejak 28 Jun lalu.


“Berdasarkan siasatan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan dari komuniti ketika menziarahi keluarga di Kg Pintasan pada 25 Jun 2021.


“Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 34 kontak mendapati 17 lagi individu dikesan positif termasuk lapan kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes,” katanya.


Beliau berkata, semua 18 kes positif ini telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC KB.


“Sementara, semua kontak rapat kes indeks juga telah diberikan arahan kuarantin untuk pengasingan,” katanya.

bottom of page