- Wartawan Nabalu News
DUA KLUSTER BAHARU DIREKODKAN DI TAWAU HARI INI (30 MAC)

30 Mac 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini iaitu dua-dua di Tawau dikenali sebagai Kluster Semarak dan Kluster Ranggu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Semarak menambah lima kes positif Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak enam kes.
"Kes indeks merupakan calon penjawat awam yang disahkan positif melalui saringan di klinik swasta sebelum mendaftar masuk ke pusat latihan di Kota Kinabalu.
"Saringan kontak rapat mendapati lima lagi kes positif dalam kalangan rakan serumah. Saringan serta punca jangkitan masih dijalankan," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, Kluster Ranggu pula dikesan pada 26 Mac lalu apabila kes indeks iaitu jurujual alat komunikasi menjalani saringan bergejala di salah sebuah klinik.
"Hasil saringan kontak rapat, tujuh lagi kes positif termasuk rakan serumah dan teman lelaki direkodkan. Berdasarkan penelitian kes, jangkitan dipercayai berpunca daripada keluarga kes indeks yang menghadiri kenduri arwah di Taman Semarak pada 20 Mac 2021 dan Majlis Graduasi pada 24 Mac lalu.
"Pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan," katanya.