- Wartawan Nabalu News
DUA KLUSTER BAHARU HARI INI DIREKODKAN DI TAWAU

17 April 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Bukit Quoin dan Kluster Jalan Damai di Tawau. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Bukit Quoin melibatkan kluster di Mukim Balung yang mencatat tujuh kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes. “Kes indeks merupakan Pembantu Pertanian di Stesen Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin yang disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 01 April lalu. “Saringan tempat kerja dan kontak rapat setakat ini mengesan 11 kes termasuk tiga pekerja di stesen berkenaan. “Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini. Masidi berkata, Kluster Jalan Damai pula melibatkan Mukim Sri Tanjung yang merekodkan tiga kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes. Katanya, kes indeks merupakan Juruaudit di syarikat percukaian yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 11 April lalu. “Jangkitan kemudiannya menular di sebuah premis agensi Kerajaan Pusat di Tawau melalui adik kepada kes indeks yang telah disahkan positif pada 14 April 2021. “Saringan kontak rapat mendapati 12 lagi kes positif termasuk empat kes rakan sekerja di agensi terbabit. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih dilaksanakan,” katanya.