top of page

Dua kluster baharu hari ini melibatkan jangkitan tempat kerja, pusat tahanan

Writer's picture: Marryan RazanMarryan Razan


5 September 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini di Kinabatangan dan Keningau melibatkan tempat kerja dan pusat tahanan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Koyah - Kinabatangan adalah kluster jenis tempat kerja yang berlaku di ladang sawit di Mukim Sukau, Kinabatangan.


“Kes indeks merupakan lelaki, 43, pekerja ladang (general worker) yang disahkan positif ujian RTK AG positif 100% grading pada 20 Ogos 2021 di Klinik Kesihatan Mabello Paris, Kinabatangan.


“Kes indeks yang mula bergejala sejak 17 Ogos 2021 dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya.


“Setakat hari ini, aktiviti persampelan kontak seterusnya mengesan 25 kes positif dalam kalangan kontak sosial termasuk 19 kes baharu yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, siasatan persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.


Manakala Kluster Pagar Sebrang - Keningau pula adalah penularan jangkitan di pusat tahanan melibatkan mukim Sebrang, Lingkudau dan Luagan Keningau.


Beliau berkata, pada 25 Ogos 2021, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau telah menerima kes indeks dengan keputusan RTK AG positif daripada Kg.Kadalakan Keningau yang telah dilaporkan dari Pusat Kuarantin Sementara, IPG Keningau melalui saringan kontak rapat.


“Kes indeks merupakan lelaki, 40, Pegawai Penjara di pusat tahanan bimbingan akhlak.


“Aktiviti pengesanan kontak rapat pada 27 Ogos 2021 hingga 04 September mendapati pertambahan bilangan kes positif di dalam daerah yang sama,” katanya.


Masidi berkata, punca yang disyaki bagi penularan kluster ini ialah jangkitan ahli keluarga kepada kes indeks yang kemudiannya menjangkiti rakan sekerja, penghuni penjara di bawah jagaan pegawai tersebut dan juga ahli keluarga beliau yang lain.


“Kluster ini dinamakan Pagar Sebrang yang kerana kluster ini terletak di sebuah institusi penjara golongan juvana, yang mana kawasan yang berpagar penuh di Mukim Sebrang.


“Setakat hari ini, 29 kes positif dalam kluster ini termasuk lima kes baharu yang dilaporkan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page