• Wartawan Nabalu News

Dua kluster baharu jangkitan daripada pekerja ladang, kilang plastik


Gambar Hiasan

21 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini melibatkan jangkitan dalam ladang di Beluran dan kilang plastik di kawasan perindustrian Kota Kinabalu. Kluster itu dikenali sebagai Kluster Sawit Lung - Beluran dan Kluster Industri KKIP Selatan - Kota Kinabalu, Tuaran. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Sawit Lung - Beluran melibatkan jangkitan dalam ladang yang disyaki berpunca daripada pematuhan SOP yang lemah. “Kes indeks adalah lelaki, bukan warganegara, 35, bergejala sejak 12 Julai 2021, sebelum disahkan positif RTK-Ag dengan grading 80 peratus dalam saringan masuk ke ladang pada 14 Julai 2021. “Pada hari yang sama, tiga lagi kes positif dengan kaitan epidemiologi di tempat kerja. Daripada 40 kontak yang disaring, 11 kontak dikesan positif melibatkan rakan sekerja dan ahli keluarga sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes. Aktiviti siasatan dan kawalan masih lagi diteruskan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Masidi berkata, Kluster Industri KKIP Selatan - Kota Kinabalu pula berlaku di sebuah kilang plastik di kawasan perindustrian Kota Kinabalu. Beliau berkata, kes indeks adalah operator kilang, lelaki, 20, disahkan positif COVID-19 melalui ujian RTK-Ag dengan grading 97 peratus di Family Care Clinic Sepanggar pada 12 Julai 2021, selepas bergejala pada 09 Julai 2021. “Kes indeks telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut. Daripada 45 sampel dalam kalangan kontak rapat yang diambil di Kota Kinabalu, lapan kes telah dikesan positif termasuk enam kes baharu pada hari ini. “Manakala 32 sampel negatif sementara lima kes masih menunggu keputusan ujian saringan. “Selain itu, empat lagi kes dengan kaitan epidemiologi juga telah didaftarkan di daerah Tuaran, menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 12 kes,” katanya.