DUA KLUSTER BAHARU LIBATKAN PEKERJA AIM DAN TUKANG MASAK HOTEL
9 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini melibatkan pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Kuala Penyu dan pekerja sebuah hotel di sini.
Kluster itu dikenali sebagai Kluster Lot Sembilan; Beaufort, Kuala Penyu dan Kluster Jalan Wisma, Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Lot Sembilan; Beaufort, Kuala Penyu mula direkodkan di Hospital Beaufort apabila kes indeks, pegawai lelaki, 36, di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Kuala Penyu dikesan positif dalam saringan bergejala pada 24 Mei lalu.
“Saringan kontak kemudiannya mendapati 11 pekerja AIM positif Covid-19, termasuk empat orang yang berulang-alik bertugas di Pejabat AIM di Labuan.
“Hal ini telah membawa kepada penularan wabak dalam kalangan ahli keluarga yang kini mencatat jumlah kumulatif sebanyak 24 kes.
“Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beaufort dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Penyu kini sedang giat menjalankan pengesanan kontak secara lebih komprehensif dan meluas bagi membendung penularan wabak dalam kalangan komuniti,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, Kluster Jalan Wisma, Kota Kinabalu melibatkan tujuh kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja B Bang Capsule Hotel, di pusat bandarraya.
Beliau berkata, kes indeks merupakan lelaki, 24, tukang masak di hotel tersebut dikesan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Harington pada 04 Jun lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
“Susulan kes itu, 25 sampel telah diambil dan mendapati enam lagi kes positif, 12 negatif sementara enam sampel masih menunggu keputusan.
“Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan Covid-19 berpunca daripada kurangnya pemahaman mengenai pematuhan SOP yang ketat dalam kawasan tempat kerja. Siasatan lanjut masih dijalankan.
Comments