• nabalunews

DUA LAGI KLUSTER BAHARU DIKESAN - DR NOOR HISHAM


1 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu COVID-19 di Sabah, melibatkan Daerah Kota Kinabalu dan Tuaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster View Kolombong membabitkan Daerah Kota Kinabalu dan Tuaran dengan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada hari ini, hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 76 individu disaring, dengan 40 kes dikesan positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dr Noor Hisham berkata kluster kedua ialah Kluster Talang-Talang melibatkan Daerah Kota Kinabalu, dengan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada 23 Nov lepas hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini, seramai 67 individu disaring dengan 18 kes dikesan positif COVID-19. Pertambahan dua kluser baharu di Sabah itu, menjadikan sejumlah 364 kluster dilaporkan sehingga hari ini, katanya.

Jumlah kluster yang ditamatkan pula ialah sebanyak 184, termasuk tiga hari ini iaitu Kluster Highway, Kluster Inai dan Kluster Jalan Meru.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster. Daripada jumlah tersebut, 33 kluster melaporkan pertambahan kes.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Teratai (778 kes), Kluster Hentian (118 kes) dan Kluster Batu Tujuh (37 kes),” katanya. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com