top of page
  • nabalunews

Dua mahasiswa PTS dilantik duta HYTB

24 Ogos 2024 

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Dua mahasiswa Politeknik Tawau Sabah (PTS) dilantik menjadi duta HASiL Your Tax Buddy 2024 (HYTB) sempena program HYTB@IPT anjuran Lembaga HASiL Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di PTS, hari ini.


Mereka ialah Muhammad Haiqal Hakimi Asis dan Nur Fatihah Abdullah yang akan berperanan membantu menyebarkan informasi percukaian kepada rakan-rakan pengajian di PTS, sekaligus memastikan program itu memberi impak yang signifikan kepada HASiL. 


Mohammad Haiqal yang juga Naib Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (NYDP MPP) PTS berkata, perlantikan sebagai duta HYTB adalah satu tugas besar dalam membantu rakan mahasiswa memahami tanggungjawab sebagai pembayar cukai pada masa akan datang.


Terdahulu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM, Shaharrudy Othman berkata, pihaknya dengan kerjasama Institut Pendidikan Tinggi (IPT) terus giat mengatur strategi dan memperkasa asas pembesaran cukai dengan mendekati generasi muda menerusi program tersebut.


Menurutnya, program yang berkonsepkan edutainment itu merupakan siri jelajah kedua selepas penganjuran di Kedah pada Jun lepas. 


"Menerusi program ini, HASiL dapat mewujudkan kesedaran awal dalam membentuk generasi muda tentang kepentingan cukai terhadap pembangunan negara,"katanya ketika merasmikan majlis penutupan program yang berlangsung di PTS itu.


Manakala, katanya, perlantikan duta dalam kalangan mahasiswa adalah bagi mengiktiraf peranan mereka untuk bersama-sama meluaskan kesedaran percukaian kepada seluruh warga IPT.


Sementara itu, Pengarah PTS, Mohd Sahran @ Awang Mohidin menyatakan rasa bangga kerana HASiL memilih Politeknik Tawau sebagai destinasi HYTB@IPT Sabah 2024 kali ini.


Beliau berharap program tersebut dapat dimanfaatkan oleh semua mahasiswa dalam membentuk keyakinan dan sahsiah diri sebagai persediaan ke alam perkerjaan, sekaligus membina satu hubungan kerjasama yang padu di antara mahasiswa.

Comentarios


bottom of page