top of page

Dua maut Dalam Dua Kemalangan Berasingan

  • nabalunews
  • May 31
  • 2 min read


ree

31 Mei 2025


SANDAKAN: Dua maut dalam dua kejadian kemalangan jalan raya berasingan yang membabitkan tiga kenderaan serta seorang pejalan kaki, semalam.


Kejadian pertama dilaporkan berlaku pada jam 3.35 melibatkan seorang lelaki warga asing yang menunggang motosikal Yamaha 135LC.


Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K.Ramasamy , berkata, kemalangan dilaporkan berlaku di Batu 26, Jalan Labuk, di sini, apabila motosikal mangsa dipercayai melanggar belakang Perodua Myvi.


Katanya, akibat kejadian berkenaan, motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.


“Berdasarkan siasatan awal, mangsa bergerak dari arah Batu 32 menghala ke Taman Mawar sebelum merempuh bahagian belakang Perodua Myvi di hadapannya.


"Akibat kejadian berkenaan, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Ramasamy berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan untuk proses bedah siasat.


Sementara itu, kes kedua dilaporkan berlaku pada jam 10.50 malam, di Batu 4, Jalan Utara, di sini, melibatkan seorang pejalan kaki berusia 50-an.


Ramasamy berkata, mangsa melibatkan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an yang maut selepas dilanggar dan digilis dua kenderaan.


Katanya, mangsa dipercayai cuba melintas jalan dalam keadaan gelap dan hujan apabila dilanggar kenderaan BYD Dolphin Extended yang datang dari arah IJM menuju ke Taman Tinosan.


"Disebabkan jarak terlalu dekat serta cuaca kurang baik, pemandu tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa.


"Mangsa kemudian tercampak ke atas jalan sebelum digilis sebuah lagi kereta Naza Citra dari arah sama," katanya.


Ramasamy berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sandakan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah.


Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama dalam keadaan cuaca buruk dan kawasan kurang pencahayaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page