DUA NELAYAN HILANG KETIKA BOT KARAM DI KUALA MERUAP, SANDAKAN
- nabalunews
- Jan 16, 2021
- 2 min read

16 Jan 2021
SANDAKAN: Dua nelayan hilang ketika bot pukat tunda yang dinaiki mereka bersama dua lagi kru, terbalik dan karam di perairan Kuala Meruap, Sandakan awal pagi semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada pukul 7 malam tadi sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut.
“Bot tersebut dikatakan terbalik dan karam akibat dipukul ombak besar ketika sedang melakukan aktiviti perikanan sekitar 4 pagi semalam. Mangsa yang hilang masing-masing warga Indonesia ialah tekong Andi Manso, 40, dan Sindora, 42,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zainudin berkata dua lagi kru bot pukat tunda itu dikenali sebagai Adrian @ Agus Bahtiar, 45, warga Indonesia dan Oyong @ Herman, 35, warga Filipina berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang melalui kawasan tersebut sekitar 6.30 pagi.
Katanya, operasi SAR bagi kejadian itu dipecahkan kepada enam sektor meliputi keluasan 175 batu nautika persegi dengan penglibatan enam aset laut terdiri daripada APMM, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Beliau berkata kejadian bot karam itu berlaku dua hari selepas sebuah bot tunda yang diberi nama Ever Winner membawa empat kru termasuk kaptennya, dipercayai karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar pada awal pagi Rabu (13 Jan) lepas, ketika menunda sebuah tongkang bernama Ever Eternity yang membawa seorang kru, dari Kinabatangan ke Sandakan.
Seorang kru bot tunda itu ditemukan selamat bersama kru tongkang, manakala operasi SAR masih diteruskan bagi tiga lagi kru bot tunda malang itu termasuk kaptennya.
Sementara itu, Zainudin memberitahu satu mayat lelaki telah ditemukan terapung oleh penduduk setempat sekitar Pulau Tambisan awal pagi tadi.
Katanya, kapal peronda Maritim, KM Serasan telah digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 11.30 pagi bagi membawa mayat tersebut ke Jeti Zon Maritim Sandakan.
Menurutnya, mayat tersebut akan diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pengecaman oleh ahli keluarga dan bedah siasat, serta bagi mengenalpasti sama ada mayat itu antara mangsa hilang yang terbabit dalam salah satu daripada dua kejadian bot karam yang dilaporkan. - Bernama


















Comments