• nabalunews

DUA PENDATANG HARAM WARGA INDONESIA DITAHAN DALAM OP BENTENG DI KALABAKAN



9 DIS 2020


KALABAKAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Briged) menahan dua lelaki pendatang haram warga Indonesia dalam Op Benteng di kawasan Kalabakan Selatan dekat sini, semalam.


Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam satu kenyataan memaklumkan suspek berusia 17 dan 37 tahun itu ditahan dengan bantuan penduduk kampung pada 6.05 petang semalam selepas cuba melarikan diri ke hutan berhampiran apabila menyedari kehadiran trup tentera berkenaan.


"Kumpulan SERKAP mengesan tiga individu yang mencurigakan menaiki sebuah bot jongkong yang sarat muatan barangan menghampiri daratan berhampiran Jeti Lama Kalabakan Selatan.


"Setibanya di daratan, tiga individu ini bertindak melarikan diri ke hutan meninggalkan bot namun dua daripadanya ditangkap orang awam dan diserahkan kepada kumpulan ronda tentera," menurut kenyataan itu, hari ini.


Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek memasuki negara ini bagi mengambil upah mengangkut barang dari Nunukan, Indonesia.


Suspek bersama barang rampasan termasuk bot jongkong, barang makanan dan guni pakaian dianggarkan RM33,053 dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk siasatan lanjut, menurut kenyataan itu. – Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com