top of page
Wartawan Nabalu News

Dua wanita warga asing kemuka maklumat palsu IC, dipenjara 24 bulan



25 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua wanita warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara 24 bulan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu berasingan, hari ini, selepas mengaku bersalah mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Kedua-dua tertuduh Murada Rabung, 32, dan Nor Hasna Paisal, 19, mengaku melakukan kesalahan itu di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles dan Majistret Jessica Ombou Kakayun.


Murada berbangsa Suluk memiliki dokumen IMM13 bernombor IP-12081-11654 disyaki memberi maklumat palsu semasa membuat permohonan gantian hilang Kad Pengenalan bernombor 960622-12-5050 atas nama Nazira Binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu pada 21 Julai lalu.


Manakala pesalah kedua Nor Hasna, berbangsa Bajau tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri disyaki memberi maklumat palsu semasa membuat permohonan gantian hilang Kad Pengenalan bernombor 950320-12-5056 atas nama Erah Binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Kota Kinabalu, pada 22 Julai lalu.


Kedua-dua tertuduh, melakukan kesalahan di bawah Perkara 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.


Murad dan Nor Hasna masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan dari tarikh ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara.



Comments


bottom of page